My living room

Our loss is our gain

Tuesday, August 16, 2005

Islam Hadhari Vs Hadharah Islamiyyah : Satu Penilaian dalam konteks Umat Islam di Malaysia (2)


Reaksi Terhadap Keperluan Islam Hadhari

Menurut Nakhaei Ahmad, YDP YADIM bahawa Malaysia memerlukan pendekatan Islam Hadhari kerana sejak kemerdekaan orang-orang Melayu telah memilih pembangunan Negara dengan konsep modeniti. Konsep modeniti ini bukanlah pembaratan dan Malaysia sekarang mengalami proses pemodenan. Proses ini telah menjadikan Malaysia sesuatu yang unik.

Namun, ia juga mempunyai kelemahan akibat penglibatan yang lemah daripada umat Islam terhadap dasar-dasar kerajaan dalam membentuk 'acuan sendiri' iaitu keserasian antara modeniti dan Islam. Nakhaei juga berhujahkan bahawa Islam hendaklah difahami sebagai tamadun yang memberi sumbangan besar kepada kemanusiaan. Sumbangan besarnya yang terbukti sebagaimana di zaman kegemilangan Islam. Namun matlamat suci ini sentiasa dilihat dari perspektif fundamental Islam dengan pengetahuan, semangat dan kesedaran kontemporari. Inilah yang dimaksudkan dengan istilah Islam Hadhari.

Sementara Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa dunia Islam sekarang memerlukan urus tadbir (governance) yang lebih baik dalam semua segi.Inspirasi dan panduannya adalah dari ajaran Islam dan Nabi Muhammad sendiri.

Penggunaan Istilah

Dari segi penggunaan bahasa Arab istilah ini juga digunakan dalam bahasa Arab sama ada secara positif atau negatif. Ia disebut sebagai al-Islam al-Hadhari. Ini menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyebutkannya ia adalah bersalahan dari segi nahu Arab. Antara yang menggunakan perkataan tersebut adalah Said Ramadhan al-Bouti, Khaled Abdullah al-Qasim, Abdul Muem Abu Futuh, seorang aktivis Ikhwan Muslimun, Fahmi Jada'an dan Ahmad al-Masalamani.

Dari segi nahunya istilah ini bergabung nama dan sifat, tidak ada cacat celanya dari sudut nahu dan ia membawa pengertian Islam yang bersifat maju secara pengertian harfinya. Secara jelasnya apabila ia sudah menjadi satu istilah dan didefinisikan, maka ia diterima.

Antara orang yang memperkenalkan istilah Islam Hadhari ialah Datuk Nakhaei Hj Ahmad. Bagi beliau, Islam Hadhari adalah memahami Islam dari perspektif ketamadunan dan ia berbeza dengan ungkapan Hadarah al-Islamiah atau tamadun Islam. Adalah menjadi kemestian kepada umat Islam untuk kembali kepada asas Islam yang melihat Islam dari perspektif yang luas, perspektif ketamadunan.

Islam Hadhari memberi penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban iaitu peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkatkan mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal.

Ia merupakan satu pendekatan dan strategi bagaimana dalam situasi baru, lanskap politik baru dan orientasi beragama yang berbeza, umat Islam mampu membangunkan suatu pendekatan ketamadunan yang lebih komprehensif, integratif, maju dan sederhana sifatnya.

Islam Hadhari ditakrifkan sebagai suatu pendekatan manusia, masyarakat dan negara Malaysia yang bersifat menyeluruh, berdasarkan kepada ruang lingkup tamadun Islam, bagi melahirkan individu dan masyarakat Islam yang mempunyai kekuatan spiritual, akhlak, intelektual dan material mampu berdikari, berdaya saing melihat ke hadapan, inovatif serta cekap menangani cabaran-cabaran semasa secara bijaksana, rasional, objektif dan praktikal.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelaskan Islam Hadhari adalah merupakan satu pendekatan dan agenda pemabangunan Islam di Negara ini yang berasaskan tamadun dan ilmu. Matlamatnya ialah untuk mencipta sebauh masyarakat Islam yang maju dan bertamadun, iaitu masyarakat dan umat Islam yang hadhari. Sementara Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi menegaskan bahawa dunia Islam sekarang memerlukan urus tadbir yang lebih baik dalam semua segi.Inspirasi dan panduannya adalah dari ajaran Islam dan Nabi Muhamad sendiri.

Islam Hadhari meletakkan 10 prinsip utama iaitu :

• Keimanan dan ketakwaan kepada Ilahi
• Kerajaan adil dan beramanah
• Rakyat berjiwa merdeka
• Pengusaan ilmu pengetahuan
• Pembangunan ekonomi seimbang dan komprehensif
• Kehidupan berkualiti
• Pembelaan hak kumpulan minoriti dan wanita
• Keutuhan budaya dan moral
• Pemeliharaan alam semula jadi
• Kekuatan pertahanan.

Di samping itu, Islam Hadhari menjelaskan penggunaan Maqasid al-Syariah yang berkaitan dengan lima perkara seperti berikut :

1. Menjaga agama
2. Menjaga akal
3. Menjaga nyawa
4. Menjaga harta
5. Menjaga keturunan.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menekankan aspek Ilmu Maqasid al-Syariah dalam pembangunan umat Islam sekarang seperti yang dinyatakan oleh al-Ghazali dan al-Syatibi. Ilmu Maqasid al-Syariah membolehkan umat Islam memberikan tumpuan terhadap konsep agama yang lebih asas, sekaligus membebaskan kita daripada penafsiran yang terlalu harfiah dan kepatuhan terlalu ketat kepada soal hukum. Dengan ilmu ini juga, umat Islam boleh menemui jawapan terhadap masalah-masalah semasa dan sebagai asas ijtihad.

Visi Islam hadhari ialah untuk memastikan pembangunan negara ini akan menjurus ke arah tercapainya status Negara maju mengikut acuan sendiri. Yang dimaksudkan dengan acuan sendiri ialah kemajuan yang mempunyai jati diri dan tidak merupakan hanya salinan karbon kemajuan Barat. Misi utama Islam hadhari ialah berusaha memberi makna kepada pembangunan negara supaya kemajuan yang dicapai dalam proses pembangunan yang berterusan itu berkembang dalam kerangka pembangunan tamadun beracuan Islam.

b) Hadharah Islamiyyah Bukan Islam Hadhari : Satu Ulasan dan Penilaian

Buku Hadharah Islamiyyah ini ditulis bagi menjawab Islam hadhari yang diperkenalkan oleh Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi. Dalam mukadimah buku ini, Abdul Hadi menyifatkan Islam Hadhari adalah penghalang kepada usaha Islam. Menurutnya, Islam Hadhari adalah kata saduran yang begitu indah bunyinya, tetapi apa yang tersirat adalah begitu beracun. Hanya segelintir yang menyedari betapa bahayanya slogan ini. Paling merbahayanya lagi istilah dan slongan ini telah dilindungi dan dihiasi sama oleh segelintir ulama suu' (jahat) melalui kenyataan-kenyataan mereka yang dibuat secara sedar atau tidak, tetapi bersedia untuk menjadi alat musuh Islam.

Oleh itu, beliau membidas keras pelaksanaan Islam Hadhari dan menganggapnya akan gagal sepertimana Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam. Abdul Hadi memberi lima sebab mengapa Islam Hadhari tidak tepat kerana:

i. Islam lebih mulia, agung dan besar dan lebih luas skopnya daripada kalimah Hadharah, maka tidak sesuai untuk menisbahkan Islam kepada Hadharah.Tidak sesuai kerana Islam disibghahkan (celupan) dengan Hadharah.

ii. Perkataan Islam Hadhari boleh membawa kepada risiko kesesatan.

iii. Hadharah Islamiah lahir dan bersumberkan kepada huraian al-Quran dan al-Sunnah.

iv. Bila disebut Islam Hadhari ia memberi implikasi bahawa Islam terbahagi kepada dua Islam hadhari dan Islam badawi.

v. Islam tidak boleh disesuaikan dengan hadharah ciptaan manusia yang berubah mengikut selera.

Abdul Hadi menjelaskan bahawa beliau menulis buku ini sebagai satu usaha untuk memperbetulkan tanggapan dan kesilapan yang berlaku apabila Negara mencanangkan slogan Islam Hadhari yang indah dari segi bahasa di sebaliknya tersirat seribu keliruan.

Ciri-Ciri Hadharah Islamiyyah menurut Abdul Hadi :
i. Ibadat ; melambangkan keseluruahan hidup sama ada dalam bentuk amalan seperti solat mahupun dalam memperhambakan diri kepada Allah sebagai khalafah Allah.

ii. Khilafah dengan maksud menegakkan agama Allah dan mentadbir dunia dengan ajaran Islam. Abdul Hadi mendakwa Islam Hadhari tidak berpijak di atas dasar khilafah disebabkan dibawah Islam hadhari agama Islam tidak diberi tempat untuk mentadbir urusan duniawi sebaliknya mengikut kemahuan UMNO.

iii. Amanah ; melaksanakan perintah Allah bagi tujuan menjaga urusan yang ditetapkan oleh Allah. UMNO dikatakan tidak mengamalkan dasar amanah dengan perebutan jawatan dan dihinggapi dengan penyakit politik wang dan cintakan jawatan.

iv. Keadilan kepada semua termasuk kepada musuh tanpa diskriminasi.Abdul Hadi mendakwa Islam Hadhari ciptaan UMNO penuh dengan ciri kezaliman dengan akta-akta yang tidak bersifat ketamadunan.

v. Hurriyyah (kebebasan); dan ia tidak dimonopoli oleh satu bangsa dan memerdekakannya daripada penjajahan.

vi. Syumuliyyah (Lengkap) meliputi aspek jasad, jasmani, akal, individualistik dan kemasyarakatan.

vii. Ilmu dan Hikmah secara menyeluruh dan bersepadu.

viii. Wehdah, iaitu kesatuan dan perpaduan umat.Umat Islam perlu bersatu di bawah akidah dan syariat Islam.

Abdul Hadi menggariskan pusat-pusat pelaksanaan Hadharah Islamiyyah iaitu :

1. Masjid
2. Jamiah (Universiti)
3. Pusat Rawatan atau hospital
4. Marsod falaki (Menara bintang) untuk mengkaji perjalanan bintang.

Di sini, Abdul Hadi mengkritik kerajaan yang disifatkan mengongkong peranan masjid dan khutbah, hospital berbayar dan pendidikan yang tidak islami.

Secara asasnya, huraian Abdul Hadi ini bukanlah sesuatu yang baru.Ia telah dinyatakan oleh kebanyakan sarjana Islam sebagai asas kepada pembinaan tamadun iaitu aspek manusiawi itu harus dibina sdengan keimanan kepada Allah.Antaranya Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya al-Islam Hadharah al-Ghad, Muhammad Imarah dalam bukunya Fi Fiqh Muwajahah bayn al-Gharb wa al-Islam, dan lain-lain pemikir Islam. Abdul Hadi tidak menerangkan bentuk dan program serta orientasi yang berkesan dalam buku ini untuk memenuhi keperluan masyarakat yang sentiasa dinamik ini.

Abdul Hadi juga menerangkan pengaruh hadharah barat terhadap ummah melalui ;

i. Politik ; dengan mengemukakan fahaman bahawa pelaksanaan ajaran Islam adalah memadai dengan urusan ibadat dan tidak ada kaitan dengan urusan kenegaraan dan politik.UMNO adalah rangkaian yang dicipta oleh penjajah untuk tujuan meneruskan dasar dan perancangan politik mereka. Islam Hadhari juga termasuk dalam kerangka ini.

ii. Pendidikan ; sistem pendidikan sekarang menghapuskan ingatan umat Islam kepada hadharah Islamiah yang sebenar dan menghidupkan cerita-cerita dongeng. Di samping itu, pengajian-pengajian ilmu Islam seperti tauhid dan tasawuf tidak menepati aspek yang sebenarnya.

iii. Media; dengan mengizinkan penyebaran maklumat tanpa batas dan tanpa tapisan.UMNO dikatakan menggunakan media untuk menutup minda rakyat dengan mempersembahkan hiburan yang melimpah ruah di atas nama seni dan budaya.

iv. Ekonomi ; teori ekonomi mengikut konsep Barat sama ada kapitalisme atau sosialisme seperti amalan riba.

Faktor Kemusnahan Hadharah iaitu :

i. Kezaliman
ii. Tughyan
iii. Kerosakan (al-fasad)
iv. Kesalahan (al-Mujrimin)
v. Sombong Takbur
vi. Kedudukan dan Kemewahan yang merosakkan
vii. Beku Fikiran dan taqlid buta
viii. Kerosakkan Sistem Ekonomi
ix. Keruntuhan Moral
x. Menyalahgunakan nikmat
xi. Memejam mata terhadap pemimpin.

Ulasan terhadap isu-isu utama dalam buku Hadharah Islamiyyah

i. Negara Islam.

Abdul Hadi menolak Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan menyanggah kenyataan Mahathir yang mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Muhammad Abu Bakar melihat polemik ini akan memberi faedah yang besar kepada umat Islam di Malaysia dan pendapat sarjana tempatan seperti Prof. Dr. Ahmad Ibrahim, Prof Madya Dr. Abdul Halim el-Muhamady, dan Prof. Dr. Razali Nawawi yang menyebutkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Ada juga yang masih melihat Malaysia sebagai negara sekular seperti pemimpin DAP dan menuntut Malaysia tidak dijadikan negara Islam.

ii. Islam hadhari dianggap mengandungi racun, kekeliruan dan dusta.

Abdul Halim el-Muhamady menolak dakwaan ini dengan menjelaskan bahawa konsep Islam Hadhari tidak terdapat unsur-unsur yang menyeleweng dan menyesatkan atau yang berlawanan dengan syariat. Kenyataan 10 perkara itu amat jelas dan ia menepati asas ajaran Islam. Tidak ada sebarang yang abstrak dan tersirat yang tidak dapat difahami dengan tafsiran yang negatif kerana fakta-fakta yang terdapat di dalamnya adalah jelas. Keadaan keliru, racun dan dusta tidak dapat dikesan di dalamnya kerana kejelasan fakta-fakta yang digunakan. Di samping itu, Islam Hadhari lebih jelas dan lebih konkrit serta lebih terarah jika dibandingkan dengan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam; kabur dari sudut istilah dan skopnya; itupun telah memberi kesan yang positif dalam pembangunan Islam.

Buku Abdul Hadi ini lebih kepada pensejarahan tamadun Islam manakala Islam Hadhari merupakan satu pendekatan ketamadunan dalam membina tamadun masa depan bersifat futuristik. Alangkah baik sekiranya kedua-duanya digabungkan kerana dalam membina masa depan tamadun, aspek sejarah dan futuristik amat penting dengan mencari persamaan di antara kedua-duanya.Umpamanya prinsip pertama Islam Hadhari ialah keimanan dan ketakwaan kepada Allah adalah sama dengan konsep ibadat yang disebutkan oleh Abdul Hadi, kerajaan yang adil dan beramanah adalah sama dengan konsep khilafah. Mengapa perlu kita mencari titik-titik perbezaan sedangkan Islam menganjurkan "Bertolongan dalam perkara yang disepakati dan bertolak ansur dalam perkara yang diperselisihkan".Oleh itu, mengambil pendekatan bermula daripada perkara yang disepakati bersama ini lebih mudah dan lancar untuk pembangunan negara daripada dimulakan dengan perkara-perkara yang berbeza.

C) Kekuatan dan Kelemahan Islam Hadhari

i. Istilah Islam Hadhari adalah pendekatan yang digunakan untuk program-program pembangunan umat dan negara untuk kepentingan masa depan umat.Ciptaan istilah-istilah baru dalam konteks perbendaharaan ilmu bukanlah sesuatu yang menyeleweng. Malahan dalam bahasa Arab sendiri telah bercampur Bahasa Arab dengan Bahasa Inggeris seperti kalimah "Islam Online" yang dieja dengan bahasa Arab (اسلام اون لين).

ii. Islam hadhari dari sudut prinsipnya yang sepuluh ini tidak menyalahi mana-mana ajaran Islam yang asas malahan ia merupakan satu tuntutan yang dikehendaki dalam ajaran Islam seperti prinsip keimanan dan ibadat kepada Allah.

iii. Islam Hadhari lebih jelas dari sudut kandungan, hala tuju dan matlamatnya yang dikehendaki dan ia dikemukakan oleh Perdana Menteri dalam forum-forum di dalam dan luar negara.

iv. Islam Hadhari merupakan program penerusan dan kesinambungan terhadap penerapan nilai-nilai Islam yang diharapkan dapat memberi kesan yang lebih besar terhadap pembangunan umat.

Kelemahan.

i. Tidak mendapat sambutan yang baik dan serius daripada Menteri-Menteri dan ahli UMNO sendiri. Kebanyakannya masih terpinga-pinga kerana program ini bersifat ketamadunan yang skopnya terlalu luas yang memerlukan kefahaman yang mendalam dan perencanaan yang teliti.Kefahaman yang kurang jelas dan tidak difahami secara mendalam menyebabkan terdapat banyak kekeliruan terhadap konsepnya.

Semasa permulaan kempen Islam hadhari terdapat pelbagai kenyataan dan formatif yang dikemukakan seperti Islam Hadhari Terengganu, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YDP YADIM.

ii. Tiada kaedah yang jelas tentang pengaplikasian konsep Islam Hadhari di peringkat kementerian, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan. Setakat ini juga, program-program di peringkat sekolah masih lagi kabur. Pelajar-pelajar melihat Islam hadhari sebagai konsep "Islam yang serba boleh".

iii. Dasar-dasar kerajaan dan program-program yang dianjurkan oleh pemerintah bertentangan dengan aspek yang terkandung dalam Islam hadhari.Malahan hiburan yang berlebihan semakin mencurah-curah dalam media tempatan yang menyebabkan anak-anak muda tergila-gila dan menghilangkan semangat patriotisme.

iv. Kegiatan-kegiatan dalam masyarakat yang bercanggah dengan prinsip-prinsip Islam Hadhari masih berleluasa; malahan usaha membendung maksiat dipertikaikan.

v. Hayat Islam Hadhari banyak bergantung kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Seharusnya ia terus menjadi agenda negara sekurang-kurang untuk 20-30 tahun akan datang seperti Wawasan 2020.

Idris Ahmad dalam buku Islam Hadhari : Satu Penilaian menyebutkan beberapa kelemahan Islam Hadhari yang disifatkan sebagai ubat lama tetapi dengan jenamaan baru.Menurutnya, Islam Hadhariu tidak ada program yang teratur dan sistematik tetapi bersifat penerangan kepada dasar-dasar yang telah diperkenalkan oleh kerajaan selama ini tentang program Islam.

D) Kekuatan dan Kelemahan Buku Hadharah Islamiah Abdul Hadi Awang :

Kekuatan :

i. Menjelaskan faktor-faktor kebangkitan dan kejatuhan sesuatu tamadun dari perspektif al-Quran dan Sunnah dan sirah. Ia lebih bersifat sejarah.

ii. Menjelaskan asas-asas penting tamadun Islam seperti konsep ibadat, khilafah dan sebagainya.

iii. Menjelaskan pengaruh Barat terhadap umat Islam dari ketamadunan serta sikap yang perlu diambil oleh umat Islam.

Kelemahan:

i. Lebih banyak kepada aspek sejarah dan tidak menyebutkan program dalam pembangunan umat.

ii. Lebih kepada sifat kritikan tajam kepada pemerintahan kerajaan UMNO yang melaksanakan Islam hadhari.

iii. Tidak mengemukakan secara konkrit dan ilmiah dalam sesuatu isu terutama isu Malaysia sebagai sebuah negara sekular atau negara Islam dan kedudukan orang bukan Islam dalam sebuah negara Islam moden.

Pandangan Sarjana Mengenai Pembinaan Tamadun

Said Hawwa mengkategorikan tamadun kepada dua iaitu tamadun Islam dan tamadun jahiliah. Tamadun Islam ialah segala aspek kemajuan yang tegak di atas kebudayaan Islam. Tamadun jahiliah pula ialah segala kemajuan yang dijelmakan dalam bentuk kebendaan dengan tidak mengambil kira aspek kerohanian dan moral. Menurutnya, tamadun jahiliah adalah gambaran masyarakat yang mengingkari Tuhan, menafsirkan sejarah mengikut perspektif kebendaan dan mengamalkan sistem kapitalis. Termasuk dalam kategori ini adalah golongan yang tidak melaksanakan syariat dalam system kehidupan mereka.

Ali Abd Halim Mahmud pula melihat kemunduran umat Islam disebabkan faktor-faktor berikut :

i. Penyelewengan umat Islam dari kefahaman Islam yang sebenar terutama dalam bidang akidah.

ii. Buruk sangka terhadap pemerintahan dan khalifah yang tidak berfungsi dan tidak berkemampuan mentadbir negara.

iii. Tidak mengikuti sistem syariat Islam dalam kehidupan.

iv. Perpecahan umat Islamv. Ketiadaan semangat jihad dan kelemahan persiapan serta peralatan.

vi. Berfoya-foya secara keterlaluan dengan dunia dan melupakan akhirat.

vii. Berleluasanya bid'ah dan khurafat.

viii. Kurangnya pendidikan dalam rumahtangga Muslim terhadap anak-anak.

ix. Tidak peduli tentang kemajuan ilmu dan sains.

Akibat daripada kemunduran ini umat Islam telah berpecah belah dan kedudukan politik yang lemah serta musuh dapat menguasai mereka dengan mudah. Beliau juga membahagikan asas tamadun kepada dua aspek iaitu aspek yang merupakan ketetapan yang mutlak dan asasi manakala aspek kedua adalah mengikut keadaan masa dan tempat. Aspek pertama terdiri daripada aspek keimanan serta amalan kerja yang diterasi dengan nilai adil, bermuafakat, menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran, keperibadian yang tinggi dan semangat jihad yang berkobar.

Aspek kedua pula berkaitan dengan persoalan kehidupan kebendaan dengan segala kecanggihan mengikut ketinggian teknologi pada masa itu seperti tempat tinggal, media massa dan pakaian. Siddiq Fadhil melihat bahawa perubahan dalam bangsa Melayu-Islam memerlukan kehadiran pemimpin yang berwibawa dalam ertikata mempunyai kekuatan intelektual, ketajaman analisis,menyedari perubahan-perubahan sekitar dan berwawasan.Pemimpin sedemikian mampu untuk melakukan perubahan sekaligus dapat memajukan bangsanya. Ini kerana pemimpin yang berkesan mendapat komitmen dan dukungan dengan penampilan diri sebagai contoh kecemerlangan menerusi sikap yang beretika, terbuka, memberi kekuatan kepada para pengikut serta mampu menjadi inspirasi kepada orang ramai.

Oleh itu, tamadun yang berjaya adalah tamadun yang bersumberkan kepada nilai-nilai agama sebagai pendorong kepada kemajuan sesuatu bangsa. Hakikat kecemerlangan terletak kepada kualiti dan hakikat kemanusiaan yang ada pada diri masing-masing yang berupaya untuk membangunkan bangsa dan Negara serta masyarakat yang dirahmati Allah.

Oleh itu, Akbar S. Ahmad menyebutkan bahawa dalam membina tamadun ia mesti berteraskan kepada konsep ideal Muslim. Konsep ini membawa maksud bahawa perilaku dan tindak-tanduk masyarakat Islam perlu mencontohi amalan nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat baginda, jika ingin mengembalikan peradaban mereka. Menurutnya, kemuncak amalan kehidupan masyarakat Islam berada di kemuncak era nabi Muhammad , kemudian para sahabat dan selepas itu kurun-kurun berikutnya. Tahap peradaban semakin merosot jika konsep ideal Muslim diabaikan.

Al-Nadwi pula berpendapat bahawa tugas utama umat Islam dalam membina tamadun mesti berteraskan kepada dakwah. Umat Islam diutuskan untuk membawa suatu visi yang agung, yang lebih tinggi dan lebih mulia daripada apa yang sedang ditumpukan oleh orang-orang bukan Islam iaitu melaksanakan kewajipan dakwah. Beliau melihat keperluan revolusi pemikiran iaitu kembali berfikir bahawa iman, ketaatan dan dakwah merupakan faktor kemampuan walaupun menghadapi penguasa yang amat zalim. Umat Islam perlu kembali kepada hakikat Islam, inti dan falsafah perjuangannya kerana memang di situlah letaknya kekuatan dan kehebatan umat Islam. Al-Nadwi menghuraikan ciri-ciri dua pemerintahan iaitu negara kebendaan (al-Daulah al-Jibayah) dan negara Hidayah (Daulah al-Hidayah). Menurut al-Nadwi, hanya ada dua bentuk pemerintahan yang berjalan di dunia sekarang iaitu pemerintahan yang kebijaksanaannya berpusat kepada kebendaan dan pemerintahan yang kebijaksanaannya berpusat kepada hidayah. Daulah al-Jibayah ini menjadikan kebendaan sebagai ukuran keberhasilannya. Pemerintahannya mementingkan pembangunan material, tenggelam dalam kemewahan dan masing-masing berebut untuk mengaut kekayaan peribadinya.

Di samping itu, mereka memeras keringat orang miskin dengan kewajipan cukai yang mencekik leher. Mereka tidak mempedulikan pendidikan moral dan agama bagi rakyatnya. Pemerintahan al-Hidayah adalah pemerintahan yang menjadikan hidayah sebagai syiarnya dan tugas utamanya menyeru manusia kepada Allah, menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Kayu pengukur keberhasilan pemerintahan ini ialah ketinggian moral dan akhlak bangsa, zuhud terhadap kemewahan dunia dan berlumba-lumba dalam perkara kebaikan. Walaupun mereka mampu untuk memiliki kekayaan sekiranya mereka mahu.Mereka tidak tenggelam dalam kemewahan hidup dan kenikmatan kebendaan.

Sebagai contohnya, kerajaan-kerajaan yang telah didirikan oleh para khulafa’ al-Rasyidin dan para sahabat Nabi s.a.w. Asas pemerintahan pada zaman pertama umat Islam adalah hidayah, dakwah ke jalan Allah dan berjuang menegakkan nilai-nilai kemanusiaan.

Mereka yakin dengan cara beginilah umat Islam akan mencapai kemuliaan. Al-Nadwi juga menerangkan mengenai dua bentuk yang sentiasa bersaing mencari pengaruh masing-masing iaitu dakyah kepada perhambaan kepada hawa nafsu dan dakwah kepada Allah.

Ali Shariati menyebutkan dua perkara penting dalam pembinaan tamadun iaitu

pertama ialah fenomena Migrasi atau hijrah sebagai faktor utama yang membawa kepada tumbuh dan berkembangnya tamadun manusia.

Kedua ialah peranan manusia atau al-Nas dalam menempa kemajuan.Kedua-dua teori kemajuan dan pembinaan tamadun ini dihasilkan bersumberkan ilham yang diperoleh dari al-Quran dan sejarah Islam.

Bagi Ali Shariati, hijrah bukan sahaja merujuk kepada perpindahan Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Madinah untuk menyelamatkan diri daripada seksaan kaum Quraish tetapi mempunyai erti kata yang lebih luas dan mendalam. Daripada kajian beliau terhadap 27 peradaban, Ali Shariati merumuskan bahawa peradaban lahir disebabkan penghijrahan manusia dari tempat asal ke tempat baru.

Sebaliknya tidak terdapat sebarang peradaban yang lahir dan berkembang di kalangan masyarakat primitif yang tidak pernah berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain. Faktor kedua ialah peranan manusia itu sendiri khususnya golongan intelektual yang bertanggungjawab menentukan nasib dan mengubah masa depan, kerana mereka diberi akal fikiran dan kudrat untuk berusaha.

Beliau mengaitkan faktor tersebut dengan ayat al-Quran yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum jika mereka tidak mahu mengubah nasibnya" (al-ra'd ayat 11)

Golongan intelektual turut terlibat dalam membina peradaban.Istilah yang digunakan oleh beliau ialah rausyanfikr.Golongan ini bukan sekadar ilmuan tetapi golongan yang merasa bertanggungjawab untuk memperbaiki masyarakatnya bagi menunaikan cita-cita mereka dan merumuskannya ke dalam bahasa yang dapat difahami setiap orang, menawarkan strategi dan alternatif penyelesaian masalah.

Kesimpulan

Ahli ABIM sejak penubuhannya mempunyai visi " membina dan meminpin Tamadun Khayra Ummah abad 21 dan Misi sebagai "Gerakan Islam yang Komprehensif Untuk Merealisasikan Cita-Cita Islamiah". Pendekatan yang komprehensif ini bermakna kita sejak dahulu lagi mengambil pendekatan hadhari dalam memimpin masa depan umat. Ini berbeza dengan pendekatan politik mahupun, ekonomi ataupun kerohanian semata-mata. Untuk itu, tidaklah sukar untuk kita bekerjasama dengan mana-mana pihak demi kepentingan masa depan umat Islam. Adalah diharapkan konsep Islam Hadhari ini memberi satu penyedaran dan pemugaran semula dari sudut pendedahan program pembangunan umat dan negara yang lebih menarik dan teratur. Konsep ini bukan membicarakan peradaban Islam sepertimana yang difahami oleh sebahagian majoriti umat Islam, tetapi lebih kepada orientasi amali dan praktikal untuk memenuhi keperluan umat Islam dalam konteks zaman moden ini.

Bagi keberkesanan pelaksanaan konsep ini, pihak kerajaan haruslah bersikap jujur, telus dan beramanah dan bukan semata-mata menjadikan ia sebagai alat politik. Di samping itu, ia harus memperbaiki kelemahan yang ada. Sekiranya tidak, konsep ini hanyalah satu slogan yang tidak bermaya dan menjadi bahan ejekan masyarakat semata-mata. Umat Islam di Malaysia perlu berfikir secara serius dan memberi yang terbaik serta tidak mengambil jalan mudah tentang kehidupan yang semakin mendesak ini. Umat Islam di negara ini seharusnya serius dan bercita-cita tinggi sesuai dengan ajaran Islam itu sendiri yang mahukan umatnya sentiasa merancang untuk masa depan.

Islam Hadhari perlu menjadi acuan kepada Wawasan 2020 atau strategi pembangunan induk, memayungi dan menentukan corak strategi-strategi pembangunan negara. Ia juga hendaklah didukung oleh semua kementerian, agensi dan swasta bagi menjayakannya. Ia juga harus memperbanyakkan penyelidikan (R&D), pemantapan pendidikan teras dan pembangunan insan.

Bagi menjayakan Islam Hadhari beberapa perkara berikut adalah dicadangkan sebagai program-program pengisian :

i. Memperkasakan institusi pendidikan yang bertaraf dunia bagi melahirkan sarjana muslim yang dikagumi dunia.

ii. Memartabatkan golongan ilmuan dan sarjana Muslim dan memberi dana penyelidikan yang banyak untuk pelbagai bidang keilmuan terutama sains.

iii. Menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat ilmu sepertimana Kaherah, Baghdad, Basrah dan Kufah yang dikenali sebagai pusat ilmu pada zaman silam. Kini London dan Paris menjadi pusat pengkaji ilmu dan penyelidikan. Setiap penyelidik walaupun dalam bidang pengajian Islam akan pergi ke sana untuk mencari bahan-bahan yang berkaitan.

iv. Membanyakkan penyelidikan sains dengan menghimpun saintis untuk manfaat umat Islam.

v. Membanyakkan seminar dan multaqa antarabangsa mengenai Ketamadunan dan Masa Depan dan bekerjasama dengan badan-badan penyelidikan antarabangsa.

Kita menerima konsep Islam Hadhari sebagai satu pendekatan untuk membangunkan umat Islam. Bagi kita, soal istilah dan kalimah adalah polemic yang mungkin akan terus berlanjutan tanpa kesudahan.Tetapi yang lebih penting ialah biar apapun jenama yang diberi keberkesanan mana-mana pendekatan akan bergantung kepada pengisian dan pelaksanaan.

Tidak guna kita terus berpolemik sekiranya kita tidak melaksanakan apa yang dihujahkan oleh mana-mana pihak. Gerakan pencerdasan umat seumpamanya ini sering dilakukan di sepanjang zaman- dengan segala kreativiti umat Islam zaman tersebut. Ksemua kreativiti ini adalah untuk menangkap imaginasi (to captune imagination) perjuangan umat agar sama-sama turut terpanggil dan tergerak untuk membangunkan umat. Tegasnya, bagi ABIM kita menerima mana-mana konsep dan pendekatan yang dapat memanfaatkan umat Islam. Soal nama, istilah dan kalimah atau orang yang mempeloporinya boleh dipolemikkan. Tetapi soal pengisian dan pelaksanaan tidak boleh dikompromikan.

Abdul Halim el-Muhammady menyebutkan : " Memandangkan banyak perkara-perkara prinsip yang terdapat dalam buku Islam Hadhari dan Hadharah Islamiyyah adalah sama; maka sepatutnya ada titik pertemuan yang boleh dijadikan antara parti pemerintah dengan parti pembangkang(PAS) dalam perkara yang mendatangkan manfaat kepada umat Islam di Malaysia."

0 Comments:

Post a Comment

<< Home