My living room

Our loss is our gain

Tuesday, August 16, 2005

Islam Hadhari Vs Hadharah Islamiyyah : Satu Penilaian dalam konteks Umat Islam di Malaysia (1)



oleh: Rumaizuddin

Mukadimah

Menurut perspektif Islam, manusia diciptakan oleh Allah dengan potensi-potensi semula jadi yang memang bertujuan membawa kepada kelahiran tamadun. Ini bermakna kelahiran tamadun hanya bermula apabila manusia berupaya mengembangkan potensinya dan seterusnya memainkan peranannya sebagai khalifah yang memakmurkan bumi ini.


Bagi sarjana Islam seperti Ibn Khaldun mendefinisikan tamadun ialah kemuncak pembangunan yang berkait dengan peningkatan kemewahan, keindahan suasana dan minat kepada pelbagai aspek individu yang boleh mempertingkatkan kualitinya. Ini termasuk keperluan kepada bahan-bahan makanan, pakaian, peralatan rumah tangga dan sebagainya. Bagi Sayyid Qutb tamadun Islam itu ialah segala bentuk kemajuan yang dihasilkan oleh sekumpulan masyarakat seperti sistem sosial pemerintahan, politik, ekonomi dan kebudayaan yang berteraskan syariat Allah serta bercirikan nilai-nilai moral Islam.

Muhammad Ramadan al-Buti dalam buku Manhaj al-Hadarah al-Insaniah fi al-Quran mendefinisikan tamadun sebagai tindakbalas antara manusia dengan alam dan kehidupan demi kebahagian dan kesenangan manusia. Oleh itu, menurutnya rukun tamadun yang asasi adalah tiga iaitu manusia, kehidupan manusia dan alam semesta. Yang dimaksudkan dengan manusia adalah kewujudan manusia melalui unsur akal, pemikiran dan kerohanian.

Di sinilah manusia perlu mengetahui hakikat kejadiannya yang dijadikan daripada tanah dan jalinan zuriatnya daripada air yang hina. Setiap manusia pasti akan menjadi tua dan akan mati. Hakikat kedua pula ialah manusia adalah makhluk yang dimuliakan oleh Allah atas seluruh makhluk yang lain. Kedua-dua unsur tersebut bercantum dalam diri manusia untuk memikul amanah Tuhan dalam memakmurkan bumi ini.

Al-Quran memberitahu sebab kemusnahan bangsa yang terdahulu adalah kerana mereka hilang pedoman untuk mengetahui hakikat dirinya dan mereka berpecah kepada dua kelompok iaitu kumpulan minoriti yang terdiri daripada kumpulan yang angkuh dan melampau. Kumpulan ini kebanyakannya terdiri daripada golongan pembesar (al-Mala') dan bangsawan. Kumpulan kedua adalah majoriti iaitu golongan yang hina dan lemah yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat biasa.

Allah merakamkan bahawa kemusnahan kaum Firaun kerana kegilaan orang-orang yang angkuh sombong di kalangan mereka dengan sikap bermahajalela serta kerelaan orang-orang yang lemah di kalangan mereka untuk tunduk dan mengikut apa jua perintah yang mereka dikenakan.Al-Quran juga secara jelas membuktikan bahawa tanggungjawab manusia yang utama adalah memakmurkan bumi ini. Tanggungjawab ini dapat dibuktikan apabila manusia mengetahui hakikat bahawa hukum-hukum yang berkaitan dengan hak manusia lebih banyak daripada hak-hak Allah. Kebanyakan hukum syarak menyentuh tentang hubungan sesama manusia dan hak-hak sesama mereka seperti muamalat, perkahwinan, hak berjiran dan hak berbakti kepada ibubapa dan sebagainya. Hukum-hukum berkaitan persoalan tersebut lebih banyak daripada hukum-hukum berkaitan dengan hak-hak Allah seperti solat dan haji.

Di samping itu, hak-hak Allah dibina atas dasar toleransi sementara hak-hak manusia dibina atas dasar yang ketat. Hak Allah boleh ditangguh atau diberi kelonggaran seperti membuka puasa bagi orang bermusafir atau sakit. Tetapi hak manusia tidak boleh dilonggarkan umpamanya ia harus membayar hutang walaupun ia jatuh miskin ataupun sakit. Ini bererti bahawa mempersia-siakan sesuatu yang berkaitan dengan hak–hak Allah atau menghilangkannya dapat ditampung dan dihapuskan dengan bertaubat. Jika seseorang mati setelah melakukan taubat sedemikian, maka dia kembali kepada Allah dengan amalan yang bersih.

Ini berbeza apabila menghilangkan sesuatu yang berkaitan dengan hak manusia ia tidak dapat dihapuskan melalui taubat kecuali setelah kita meminta maaf daripadanya. Ia tidak dapat ditampung melalui taubat dalam apa segipun. Ia dapat ditampung dengan mengembalikan hak yang dihilangkan di samping bertaubat. Contohnya orang yang berhutang atau memfitnah orang lain. Dosa itu tidak akan terampun kecuali ia memohon maaf daripada mereka. Berdasarkan kepada kenyataan di atas, bahawa seseorang yang menghilangkan hak manusia, kemudian ia dengan tekun menjalani dan mempraktikkan hak Allah seperti solat, puasa dan haji maka perbuatan tersebut tidak memberi apa-apa makna dan dia mendustakan Allah.

Ini kerana jika jiwanya bersih, ia tidak mungkin membenarkan sedikitpun hak manusia dipersiakan olehnya. Jelas sekali bahawa tugas manusia adalah untuk mempratikkan kehidupannya secara terbaik sebagaimana yang digariskan dalam ajaran agama Islam.

A) Islam Hadhari

Oleh itu, dalam merealisasikan perkara tersebut Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan pendekatan Islam Hadhari yang memberi penekanan kepada aspek pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Ia bukan sesuatu yang bersalahan dengan ajaran agama kerana sememangnya tugas manusia seperti yang digariskan dalam al-Quran adalah memakmurkan dunia dan membina tamadun yang cemerlang.

Ia merupakan peradaban yang dicanai dengan pegangan Islam dan memberi fokus kepada usaha mempertingkat mutu kehidupan melalui penguasaan ilmu, pembangunan insan, pembangunan kesihatan serta pembangunan fizikal. Sepuluh prinsip utama diperkenalkan bagi memperkasa umat Islam agar berupaya menghadapi cabaran semasa, pengerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing umat dan asas dalam mencapai kekuatan dalam semua bidang kehidupan.

Abu Futuh Abu Mueim, seorang pemimpin Ikhwan al-Muslimun begitu kagum dengan pelaksanaan Islam Hadhari yang dilancarkan oleh Kerajaan Malaysia dan bertambah yakin bahawa Islam akan muncul sebagai tamadun dunia akan datang. Beliau mengulas bahawa Islam Hadhari yang ingin dilaksanakan itu sama seperti "Islam Syamil" yang dinyatakan dalam Ikhwan al-Muslimun yang meliputi kemanusiaan, ketamadunan dan keantarabangsaan. Beliau juga menolak masa depan Islam melalui pendekatan kesufian mahupun pendekatan politik semata-mata. Hal sedemikian disebabkan pelaksanaan Islam diperlukan dalam semua bidang iaitu pembentuk pemikiran individu yang jelas, kemantapan akidah, peningkatan akhlak yang disinari dengan ibadat, berinteraksi dengan manusia secara terbaik dan kerjasama yang erat dalam politik dan kemasyarakatan, melakukan kebajikan kepada golongan miskin, mengalakkan kerja-kerja sosial sama ada dalam bentuk individu mahupun persatuan, pertumbuhan ekonomi yang adil dan saksama, serta memberi gambaran kesyumulan ajaran Islam kepada masyarakat dunia. Menurutnya, inilah pemerintahan dan tamadun yang ingin didambakan oleh kita pada hari ini.

Semasa Perasmian Islam Hadhari Pengurusan Negara pada 30 Januari 2004 di Shah Alam, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyebutkan Islam Hadhari itu adalah Islam yang berasaskan kepada pembangunan yang menjurus kepada pembinaan peradaban. Islam Hadhari juga adalah mengamalkan Islam sebagai satu pegangan yang memberikan fokus kepada mempertingkatkan mutu kehidupan sama ada dari segi ilmu, pembangunan fizikal dan insan, kesihatan, sistem ekonomi dan kewangan. Beliau menyebutkan Islam Hadhari berasaskan dua faktor terpenting iaitu ilmu dan pembangunan holistik.

Pertama, dalam bidang keilmuan, pihak pemerintah akan mengalakkan penyelidikan dan pembangunan, menjadi lebih kreatif untuk mencipta dan merekabentuk peralatan dan instrumen yang boleh membantu umat.

Keduanya, Islam Hadhari memberikan penekanan secara menyeluruh dan holistik. Pembangunan yang dimaksudkan di dalam konteks Islam Hadhari ialah yang menyentuh persoalan-persoalan pertanian, bio-teknologi, ICT dan lain-lain bidang yang menjadi kewajipan bersama yang dinamakan fardu kifayah.

Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam Perasmian Percambahan Islam hadhari Wilayah Persekutuan menyebutkan bahawa masyarakat Hadhari akan menggunakan segala kekayaan sumber alam dengan baik yang dipacu oleh ilmu, sains dan teknologi, serta akal budi untuk kesejahteraan umat. Masyarakat Hadhari bijak lagi cemerlang menguruskan negara, aset, rakyat, sumber, pentadbiran, pendidikan, ekonomi, pertahanan dan kemasyarakatan. Menurutnya lagi, tamadun ini adalah merupakan kayu ukur bagi menentukan tahap pencapaian dan kemajuan sesuatu bangsa. Ciri-ciri tamadun inilah yang dapat membezakan sebuah masyarakat itu maju ataupun mundur.

Beliau menganjurkan tujuh perkara yang mungkin dapat digunapakai untuk melaksanakan konsep Islam Hadhari ini.

Pertama : Setiap tugas dan usaha yang baik adalah Ibadah. Ini kerana semua tugas yang dibuat secara jujur, ikhlas dan amanah kerana Allah untuk kebaikan adalah satu ibadah.

Kedua : Sentiasa merancang untuk mencapai mutu kerja yang berkualiti pada setiap masa. Kualiti kerja dan perkhidmatan hendaklah bertaraf dunia dan berusaha mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Ketiga : Meningkatkan dan memupuk budaya berinovatif dan kreatif, dalam pengertian memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada perekacipta di semua bidang terutama di bidang Sains dan Teknologi.

Keempat : Berusaha mengekalkan politik yang stabil. Sistem politik yang kemas teratur, kukuh dan adil akan menjamin keamanan dan keharmonian rakyat. Tamadun yang dibina akan hancur apabila berlaku perpecahan dan persengketaan.

Kelima : Ekonomi yang kukuh dan berkembang. Kekuatan ekonomi turut menjadi asas dan tunggak kekuatan tamadun. Ekonomi kukuh, rakyat mewah serta selesa dan berbagai sektor yang lain dapat berkembang pesat.

Keenam : Sistem pendidikan bertaraf dunia. Perkembangan dan kemajuan sistem pendidikan adalah satu jaminan ke arah penerusan ilmu yang menjadi asas kepada kebangkitan sains, teknologi, kebudayaan, komunikasi, teknologi maklumat dan pembinaan masyarakat bermaklumat, intelek serta ilmuan.

Ketujuh : Membentuk akhlak mulia yang terpuji. Keseimbangan antara kemajuan fizikal dan spiritual yang merujuk kepada soal akhlak dan kemanusiaan amat penting agar nilai tamaddun yang dibina akan berpaksi kepada asas dan peraturan yang benar.

Kerajaan melaksanakan dasar ini sebagai satu pendekatan membina tamadun sehingga menjadi agenda rasmi kerajaan kerana beberapa faktor.

Pertama: Menyediakan rakyat yang memiliki kematangan berfikir berdasarkan fakta ilmiah lengkap dengan data dan logik dalam mengemukakan hujah tanpa bertindak secara terburu-buru dan emosional. Umat Islam perlu memahami dengan mendalam sebab-sebab mundur dan segera mencari penyelesaian menurut anjuran Al-Quran dan As-Sunnah.

Kedua: Meningkatkan martabat, kemuliaan serta penghormatan rakyat Malaysia di mata dunia dengan cara memiliki segala kekuatan terutamanya kekuatan ekonomi, politik, ilmu, sains dan teknologi serta kekuatan akhlak dan disiplin.

Ketiga: Menjadikan rakyat Malaysia terkenal sebagai bangsa pencipta dengan nilai inovatif dan kreativiti yang tinggi lagi berkualiti dan sekali gus bukan sebagai bangsa yang hanya tahu menjadi masyarakat pengguna semata-mata.

Keempat: Menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara contoh terutama kepada negara Islam yang lain dengan ciri-ciri rakyat yang kuat bekerja, gigih, berfikir dan sentiasa berusaha menjadikan negara ini maju, berjaya, cemerlang, aman makmur serta diampuni Allah S.W.T.

Kelima : Memberi gambaran yang positif terhadap realiti umat Islam yang sebenar. Sebagai umat yang cintakan kedamaian, sederhana, dinamik, cinta ilmu, perpaduan dan kaya dengan amalan nilai-nilai murni. Masyarakat Islam Hadhari menolak konsep masyarakat Islam yang keras, tidak mengenal perbezaan pandangan, tidak mengakui kepelbagaian ijtihad, taksub dan tidak mahu mendengar pandangan dan aliran pemikiran lain.

Keenam: Memperjelaskan bahawa umat Islam di Malaysia bukan lagi terdiri dari golongan ‘Islam Ritual’ yang melihat Islam itu terlalu sempit hanya semata-mata hidup dalam masjid, sembahyang sunat, zikir, berjubah, berserban, berjanggut hingga tidak meletakkan hal kehidupan duniawi sebagai penting. Oleh itu, ia menyebabkan umat Islam jadi jumud dan pandangan orang lain pun kurang tertarik terhadap Islam.

Dalam mencapai merealisasikan pembinaan tamadun tersebut melalui pendekatan Islam Hadhari, umat Islam mesti mempunyai keinginan yang tinggi untuk berusaha mengembalikan semula kegemilangan tamadun Islam, membasmi perpecahan dan hendaklah saling mempercayai di antara pelbagai sektor umat meliputi ulamak, pemerintah dan rakyat dan membina jiwa serta fikiran yang mantap serta membendung apa sahaja yang menyebabkan kekeliruan jiwa dan fikiran umat Islam. Melalui aspek tersebut umat Islam dapat menebus maruah yang telah hilang daripada diri kita.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home