My living room

Our loss is our gain

Thursday, September 08, 2005

Jejak Ulamak: Keadaaan Zaman Imam Al-Mawardi [Siri-2]


Oleh Mohd Rumaizuddin Ghazali, Exco Dakwah ABIM

Zaman Imam al-Mawardi mempunyai kelainan dengan zaman yang lain menyebabkan timbulnya aliran pemikiran, budaya dan cara hidup yang memberi kesan positif kepada umat Islam pada ketika itu.1 Antaranya ialah :

1. Suasana Politik

Pada masa ini berlaku perselisihan dan perpecahan dalam aliran politik dan timbulnya fitnah, kekacauan dan khalifah tidak dapat berfungsi dengan sepenuhnya. Terdapat pemberontakan di dalam dan luar negari. Zaman ini telah menyaksikan fitnah yang amat banyak antara puak-puak yang bertelagah di dalam negara. Berlaku pertentangan golongan yang menggabungkan politik dengan aliran pemikiran mereka seperti golongan Buwayhiyyah lebih mirip kepada Syiah dengan dakwaan khalifah itu milik mereka. Pertentangan antara ahli Sunnah dengan Syiah, antara ahli sunnah dengan golongan Rawafidh, dan antara golongan Nasrani dengan golongan Hasyimi. Timbulnya golongan Hasyimi dan juga pertelingkahan sesama pembesar bani Buwayhiyyah dalam pentadbiran negara. Khalifah Abasiyyah berada di bawah kekuasaan bani Buwayhiyyah, timbulnya pertentangan antara ahli Sunnah dan Syiah, berlakunya kekacauan dan perompakan akibat keadaan politik yang tidak stabil.

Pada masa ini juga , perkembangan kerajaan Fatimiyyah di Mesir yang juga menggugat Khalifah Abasiyyah di Baghdad setelah mereka berjaya menawan kota Damsyik tetapi gagal untuk mencapai cita-cita bagi menjatuhkan Khalifah Abasiyyah dan memasuki Baghdad. Pada masa ini juga dapat menyaksikan keruntuhan kerajaan Fatimiyyah selepas itu.

Pada masa ini terdapat kerajaan-kerajaan kecil seperti kerajaan Hamadani di Syam, Samaniyin di timur. Ada dua faktor yang terpenting yang berlaku pada zaman al-Mawardi dari segi politik iaitu :

a) Pembahagian dan pemecahan kerajaan Abasiyyah kepada negeri-negeri kecil seperti Fatamiyyah, Buwayhiyyah, Salajuk, ‘aghalibah dan Ghazanuwiyyah.

b) Kelemahan khalifah dan hilang kepercayaan kepadanya.

Semenjak permulaan kurun keempat, khalifah-khalifah Abasiyyah telah kehilangan kuasa dalam pentadbiran negara disebabkan kelemahan diri mereka. Keadaan ini bertambah buruk pada pertengahan kedua kurun keempat dan awal kurun kelima. Pada ketika ini, golongan Buwayhiyyah yang mengambil alih kekuasaan dari khalifah. Golongan Buwayhiyyah merupakan golongan Syiah yang ta’asub, mereka percaya bahawa khalifah adalah hak mereka dan bukan bagi golongan Abasiyyah. Mereka merupakan penyebar Syiah dan memerintahkan rakyat supaya merayakan hari-hari kebesaran Syiah. Mereka berusaha untuk mendirikan khalifah Syiah, bagi mengantikan khalifah Abasiyyah walaupun didapati di sana ada sebab-sebab politik dan masyarakat yang menghalang usaha tersebut. Mereka menyokong kerajaan Fatimiyyah di Mesir dengan harapan agar dapat mengugat kekuasaan khalifah Abasiyyah di Baghdad. Ini adalah faktor-faktor yang menyebabkan khalifah Abasiyyah menjadi lemah.

Pada masa ini bani Buwayhiyyah memainkan peranan dalam pemerintahan. Mereka boleh melucut dan melantik khalifah sesuka hati. Pada tahun 320 hijrah al-Muqtadir billah yang terkenal dengan melakukan pembaziran, penyelewengan wang, ketaatan kepada wanita, memecat menteri dan dibunuh. Selepas itu, dilantik al-Mu’tadhad billah sehingga mereka menangkapnya serta melucutkan jawatan khalifah pada tahun 322 hijrah. Kemudian diganti dengan al-Radhi billah pada tahun 322 hijrah sehingga tahun 329 hijrah. Beliau diganti dengan Mutaqi billah tetapi dilucutkan jawatan dan diganti oleh al-Mustakfi billah pada tahun 333 hijrah. Pada masa pemerintahannya golongan Buwayhiyyah menguasai khalifah. Beliau juga dilucutkan jawatan dan disiksa dalam penjara. Golongan Buwayhiyyah telah melantik Muti’ billah pada tahun 334 hijrah.Pemerintahan khalifah Abasiyyah hanya pada namanya sahaja sementara pemegang kuasa sebenarnya ialah ditangan golongan Buwayhiyyah yang berkuasa untuk melantik dan melucutkan khalifah. Keadaan ini berterusan sehingga al-Qadir billah memegang jawatan khalifah pada tahun 381 hijrah. Beliau telah memerintah selama 41 tahun.

Semasa pemerintahannya, beliau berjaya mengurangi kekuasaan bani Buwayhiyyah serta menjadikan keadaan politik stabil. Ini disebabkan kekuatan peribadinya serta kejayaan dalam membina kepentingan rakyat dan negara. Beliau diganti oleh al-Qa’im billah pada tahun 422 hijrah yang telah memerintah selama 45 tahun.

Oleh itu, zaman Imam al-Mawardi merupakan zaman yang penuh dengan kekacauan, perebutan kuasa antara pembesar dan khalifah dan timbulnya berbagai-bagai aliran politik. Perkara ini telah memberi kesan dalam pemikiran al-Mawardi dalam menyelesaikan masalah politik, masyarakat dan negara. Beliau menasihati para khalifah, menteri-menteri dalam membina tanggungjawab bersama bagi membangunkan negara. Beliau juga menggesa supaya masyarakat sentiasa bekerjasama dan bersatu dengan mengikut manhaj ilahi sepertimana yang dikupasnya dalam buku yang berjudul Adabu d-Dunya wa d-din. Namun, dalam keadaan yang sedemikian perkembangan ilmu semakin pesat.

Suasana Masyarakat dan Ekonomi.

Pada zaman ini suasana masyarakat dan ekonomi mengikut tradisi masyarakat sebelumnya yang terdiri dari berbagai-bagai peringkat masyarakat. Peringkat yang tertinggi terdiri daripada khalifah, pembesar-pembesar, menteri-menteri, ketua-ketua pegawai, gabenor-gabenor, kadi-kadi dan orang yang setaraf dengannya. Peringkat pertengahan terdiri daripada pegawai-pegawai jabatan, peniaga dan pegawai tentera. Peringkat bawahan terdiri daripada golongan petani, pengembala binatang, kadam dan hamba. Perbezaan peringkat ini membawa kepada perbezaan kedudukan ekonomi di antara mereka.

Golongan kelas atas hidup dengan penuh kemewahan manakala kelas menengah hidup dalam keadaan sederhana dan kelas bawahan hidup dalam keadaan kesempitan disebabkan melambungnya harga-harga barang di pasaran disebabkan ekonomi yang tidak stabil. Ibn Kathir1 menyebutkan pada tahun 373 hijrah harga barang-barang telah melambung tinggi sehingga ada yang mati kelaparan sedangkan para raja-raja menghabiskan wang hanya untuk melansungkan kenduri perkahwinan secara membazir.

Pada masa ini juga lahirnya golongan Zindiq, golongan sufi yang menyeleweng dan golongan zuhud yang bertentangan dengan ruh Islam. Mereka ini terkesan akibat pengaruh dengan anasir-anasir kebudayaan luar disebabkan percampuran mereka dengan orang-orang Parsi, India dan Rom. Terdapat juga golongan sufi yang menyeleweng terpengaruh dengan Syiah sehingga mentakwilkan ayat-ayat al-Quran secara batil semata-mata untuk menyakinkan dakwaan mereka. Mereka mengelarkan diri mereka sebagai ahli hakikat iaitu dengan membezakan para ulama yang tidak mengikut tarikat dan aliran sufi. Mereka mendakwa mendapat ilmu melalui ilham dan kashaf. Di sini bangunlah para ulama Islam mengarang buku untuk menolak hujah-hujah golongan ini. Secara ringkasnya boleh dikatakan pada zaman ini berlakunya kemewahan dikalangan para khalifah, kemiskinan dikalangan orang awam, dikenakan cukai yang tinggi kepada rakyat dan timbulnya keganasan serta perompakan yang berleluasa.

3. Suasana Ilmu dan Pemikiran.

Suasana ilmu dan pemikiran pada kurun keempat dan kelima terus berkembang berterusan terutama pada kurun kelima kerana timbulnya gerakan menghimpun semula buku-buku karangan pada kurun sebelumnya dan dijadikan sebagai Encyclopedia. Perkembangan pemikiran ini berterusan sehingga melahirkan ramai ulama dalam berbagai-bagai bidang. Menurut Dr. Hassan Ibrahim Hassan menyebutkan pada zaman ini usaha-usaha penterjemahan dari bahasa asing khususnya bahasa Yunan atau Greek, bahasa Parsi dan bahasa Hindi giat dilakukan. Di samping itu, pemikiran umat Islam dalam kajian, penyelidikan dan karangan didapati telah matang. Kegiatan intelektual telah meningkat dengan begitu pesat dan istana-istana dipenuhi oleh para ulama dan ilmuan.

Pada zaman Buwayhiyyah golongan Imamiah telah berkembang. Antara ulama-ulama yang masyhur seperti Syeikh Saduq, Syarif al-Reda, Syeikh al-Mufid, Syeikh Jaafar al-Tusi dan Murtada. Syeikh al-Reda adalah seorang ulama yang terkenal dalam bidang kesusteraan Arab dan menghimpunkan kitab Nahjul Balaghah.

Pada zaman ini juga lahirnya para ulama-ulama yang terkenal dalam berbagai mazhab. Ulama dalam mazhab Hanafi seperti Abu Taib Tahir bin Abdullah al-Tabari, Syirazi, Abu Bakar Khawarizmi, Abu Hussain Qadawari dan Abu Abdullah Syamiri. Ulama dalam mazhab Maliki seperti Qadi Abdul Wahhab bin Nasir al-Baghdadi, Abu Bakar Muhammad bin Abdullah al-Abhari, Abu Hassan al-Mu’afiri, Abu Abdullah al-Fahar Muhammad bin Umar bin Yusuf al-Qurtuby. Ulama dalam mazhab Syafie seperti Imam Abu Hamid al-Isfarayni, al-Baihaki pengarang kitab sunan, al-Qasayri pengarang risalah al-Qasayri, al-Juwayni Imam Haramain, Abu Taib al-Tabari, Khatib al-Baghdadi dan Imam Syirazi. Ulama dalam mazhab Hanbali seperti Ibn Batah, Ibn Sam’un, Qazawini, Abu Ya’la, Abu Jaafar Hanbali, Abu Wafa’ Ali bin Aqil yang dikenali sebagai Ibn Aqil dan Ibn Hamid.

Antara ulama Muztazilah ialah Qadi Abdul Jabar bin Ahmad

al-Razi,mempunyai kitab al-Mughni dalam bidang Tauhid, Abu Saad Saman Ismail bin Ali al-Razidan Abu Hussain al-Basri.Ulama dalam mazhab al-Zahiri ialah Abu Muhammad Ali bin Hazim al-Andalusi (w.456). Antara ulama dalam bidang ilmu kalam ialah Abu Qassim al-Tanuhi, Abu Abdullah Nasibi, Abu Qassim Burhan, Abu Bakar bin Furak dan Muhammad bin Wasakh.1 Ulama dalam bidang hadis seperti Ibn Madah, Barqani, al-Baihaki, Ibn Naim, al-Jarwadi, al-Baghdadi, al-Kitani, Ibn ‘Abar al-Bir dan Sahami. Menurut para pengkaji sejarah telah menyebutkan pada zaman ini terdapat lebih dari seratus orang ahli hadis seluruh dunia Islam.

Dalam bidang ilmu nahu dan saraf seperti Ibn Jinni, Abu Hassan Jurjani, Badi’uzzaman al-Hamzani dan lain-lain. Dalam bidang sejarah lahirnya ulama-ulama seperti Ibn Maskawih, al-Baghdadi, Abu Raihan al-Biruni, Hilal bin Muhsin al-Sabi, Turtusi dan lain-lain.4 Dalam bidang falsafah lahirnya Ibn Sina dan golongan Ikhwan al-Safa.

Dari sini dapatlah disimpulkan bahawa pada kurun keempat dan kelima hijrah adalah zaman perkembangan ilmu yang begitu pesat sekali. Perkembangan-perkembangan ilmu ini disebabkan beberapa faktor seperti berikut :

1. Sokongan dan dorongan yang diberikan oleh khalifah dan para pembesar kepada ulama. Para ulama telah diberi ganjaran dan hadiah oleh pemerintah.

2. Perkembangan aliran pemikiran yang meliputi seluruh dunia Islam ketika itu.

3. Dialog terbuka di dalam majlis-majlis ilmu diantara para fuqaha dalam berbagai-bagai mazhab. Mereka saling berhujah dan mempertahankan mazhab masing-masing.

4. Berkembangnya pusat-pusat pengajian ilmu dan perpustakaan terutama di masjid-masjid.

5. Kemasukan kebudayaan luar dalam kehidupan mereka sehingga memberi kesan terhadap perkembangan ilmu. Buku-buku asing diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.

6. Kelahiran golongan yang menyeleweng dalam agama, mengingkari nabi dan rasul serta ta’asub terhadap fahaman mereka. Oleh itu, para ulama telah bangun untuk menentang golongan ini serta mematikan hujah mereka.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home